Wednesday, November 18, 2015

3A1B1C

"Mama marah ke kalau kakak tak dapat 5A?"
Eh, anak ini, macam tu pula gaya menanya soalan kat kita. Saya diam. Bukan tanda saya tidak bersetuju atau sebaliknya. 

Saya yakin, Allah menciptakan satu-satu makhluknya mengikut terapan yan sempurna. Setiap antara kita adalah pelengkap kepada yang lain.

rupa si penanya soalan di atas

Saya akui, sejak melahirkan anak ke-3 hingga ke-6, jarang saya paparkan wajah anak pertama saya dan ke-2. Sebabnya mungkin kecomelan bayi mereka dah hilang, sering digantikan dengan comel adik-adik mereka sahaja. Jujur, saya tidak berlaku adil.

Berbalik kepada soalan di atas, ye Nuralia ini hanya mendapat 3A1B1C untuk peperiksaan UPSRnya baru-baru ini. Perasaan saya? Bercampur-baur sebenarnya. Lebih-lebih lagi setiap 'uploads' kawan-kawan saya di 'facebook' hampir semuanya berkisarkan kecemerlangan anak-anak mereka dengan pencapaian 5A, pelajar terbaik sekolah dan pelbagai lagi kisah seumpamanya.

Sebagai ibu yang perjalanan hidup dalam akademik agak menyerlah, saya ada rasa terkilan akan keputusan ini. Kenapa tidak 5A, anakku? Agak malu dengan rakan-rakan yang punya anak-anak cemerlang. Tetapi perasaan itu saya buang jauh-jauh dari sudut hati dan akal saya. Saya tidak mahu perasaan itu melintas lagi di fikiran saya.

Saya terus tumpukan kepada perasaan BANGGA. Saya bangga dengan pencapaian anak saya. Keputusan itu benar-benar hasil usaha dia dan gurunya di sekolah, di samping doa saya setiap masa supaya dia menjadi anak solehah yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Saya berbangga mempunyai anak sepertinya kerana walaupun sibuk dengan persiapan peperiksaan, setiap hari dia akan dipaksa membantu kami dengan adik-adiknya. Dia membantu saya mencuci pakaian, menyidainya dan melipatnya,lalu disusunnya. Dia juga memandikan adik-adiknya yang masih kecil sebelum ke sekolah. Balik dari sekolah, akan membantu kami menjaga adik-adiknya yang berlima itu.

Masa mengulangkaji? Jujurnya, memang jarang-jarang ada.

Dia juga tidak mahu meninggalkan solatnya. Tika saya pulang dari kerja, antara soalan pertamanya, "Mama dah solat?" Andai belum jawapan saya, dia akan mengaturkan jadual, "Mama solat dulu, nanti kakak solat pulak boleh Mama jaga adik"

Jadi, andai saya kata saya kecewa Nuralia tidak berjaya hanya kerana tidak mendapat 5A, saya ibu yang paling teruk di dunia dan akhirat. Nuralia hanyalah seorang anak hasil corakan kami ibu bapanya. Keputusan di kertas bukanlah penjamin keputusan di buku amalan.

Saya akhirnya sujud bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan anak yang pintar akalnya. Bijak membahagikan masa untuk fokus kepada minatnya, baik dari segi akademik, atau hobi memasaknya. Bijak juga mengatur masa untuk membantu ibu bapanya. Malah, tidak lupa juga akan perintah Allah.

Rakan-rakan ibu bapa sekalian,

Sekalung tahniah buat anda yang punya anak 5A dalam UPSR baru-baru ini. Tahniah ibu dan bapa semua.

Cuma andai ada tika, biarlah kita renungkan adakah anak yang kita corakkan ini dicorakkan hanya untuk dunia semata-mata. Berdoalah untuk akhirat jua.

Buat Nuralia Izzurah Ahmad Izzuan,

Percayalah Mama dan Ayah amat berbangga punya kamu 3A1B1C itu. Kamu jadilah insan solehah, cemerlang hidup kamu di dunia dan akhirat. Kamu punya Mama dan Ayah setiap masa. Percayalah.

2 comments:

  1. Cemerlang dlm pljrn x semestinya cemerlang dunia dan akhirat. Bagus anak farah. Rajin tlg mama ye.

    ReplyDelete
  2. Ibu Lala... sama macam kami masa kecil, ayah saya ingatkan, kalau belajar pandai pon tapi tak mau menolong ibu bapa, tak ada ertinya...
    Saya lihat tak ramai anak sekarang yang tahu membuat kerja di rumah... kasihan kepada ibu bapa jua

    ReplyDelete