Anak-anak hebat. Itu impian setiap ibu dan bapa yang punya mereka.
Bagi saya, 6 orang kesemuanya. Setiap antara mereka, berlainan wataknya.
Doa. Itu senjata. Penting bagi ibu atau bapa atau, lebih baik, kedua-duanya mendoakan anak setiap masa.
"Ya Allah, kau peliharalah zuriat keturunan kami ini dari segala musibah dan kejahatan. Tetapkanlah iman mereka dan istiqomahkanlah mereka dalam menjalani ibadah hanya kepadamu Ya Allah! Jadikanlah mereka anak-anak soleh dan solehah, cemerlang hidup mereka di dunia dan akhirat."
Anak saya di atas ini anak yang ke-3. Nakal, iya, tidak dinafikan. Masih kanak-kanak hampir berusia 6 tahun beberapa minggu lagi. Berlainan dengan anak-anak kami yang lain. Manja, kadang-kala terlebih manja, kata ayahnya. Setiap hari akan saya hantar ke sekolah (sebuah pusat tahfiz ala 'homeschool'), di mana ada beberapa pelajar yang tinggal di sana. Setiap kali ke sekolah (dia dan kakak) akan saya terapkan supaya membaca niat untuk ke sekolah (suruh mereka letakkan telapak tangan kanan di dada sebelah kiri):
"Ya Allah Ya Tuhan kami, sahaja aku pergi ke sekolah pada hari ini untuk menuntut ilmu yang baik-baik, supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, cemerlang di dunia dan akhirat"
Pendek sahaja tetapi besar manfaatnya jika diamalkan setiap hari. Benar.
Kami lakukan sepanjang tahun ini. Alhamdulillah banyak kesan positif bagi kami.
Anak-anak nakal (itu memang sikap semulajadi kanak-kanak), tetapi masih mudah dikawal.
Suatu yang tidak saya jangka datang dari anak saya yang ke-3, yang kami panggil Achik ini, bila malam tadi (Khamis, 29 November 1437), dia meminta duit untuk ke sekolah lebih RM1 dari biasa:
Achik: Mama, esok Achik nak bawa RM3 pergi sekolah ye
Mama: Eh, banyaknya. Nak buat apa? Kan Achik bawak RM2 aje. Achik RM1, Angah RM1
Achik: Esok Achik RM1, Angah RM1, RM1 lagi Achik nak bagi Abang Malik
Mama: Abang Malik tu siapa?
Achik: Abang Malik tu tinggal di asrama lah, Mama. Dia tak ada duit, Mama.
Mama: Oh... baiklah. Esok Mama bagi Achik duit di dalam kereta ye.
Saya terkedu campur terharu. Dalam kenakalan anak saya ini, ada kemuliaan yang Allah tunjukkan tika dia memikirkan kesusahan rakan sekelasnya.
Sebetulnya, kami suami isteri juga menggalakkan dan semampu mungkin mahu melakukan jariah yang berpanjangan. Moga Allah menerima amal kami dan jauhi hati kami dari sikap ujub, riak dan takabbur.
Benar orang kata, anak buat apa ibu dan bapanya lakukan di hadapan mereka.

Bagus farah didik anak camtu. Mudah nudahan anak anak kita jd org yg soleh dan solehah cemerlang dunia akhirat
ReplyDeleteInshaAllah Ibu Lala.. mereka amanah kita... inshaAllah kita sama-sama beringat
Delete