Allah menjadikan kita berlainan dari setiap orang yang lain. Benar. Tetapi masih ada yang mahu membeza-bezakan nasib diri mereka dengan orang lain. Buktinya, sepanjang perjalanan ke tempat kerja pagi tadi, terdengar dari corong radio, penceramah siri motivasi mengesahkan bahawa Facebook sekarang ternyata membuat ramai orang dalam kemurungan. Kenapa ini terjadi? Mudah, setiap dari kita mahu menjadi seperti orang lain. Kita sentiasa membayangkan kehidupan orang lain itu lebih baik dari kita, melalui status-status rakan kita di Facebook. Sudahnya, kita juga yang murung kerana menyangka 'rezeki' kita tidak sebaik rakan-rakan kita yang lain.
Duhai teman, yakinlah Allah itu Maha Adil. Rezeki kita tidak sama dengan rezeki orang lain. Dia menjadikan kita berbeza untuk saling melengkapi.
Saya juga sering didatangi persoalan dari kawan-kawan tentang rezeki ini. Dengan bertanyakan pelbagai 'mengapa' dan 'bagaimana'.
Antara 'tips' murah rezeki yang boleh kita amalkan:
Mulakan hari dengan surah Al-Fatihah sebanyak 3 kali
Usai Al-Fatihah Pertama, lafazkan:
"Ya Allah, aku mulakan hariku dengan menyedekahkan Al-Fatihah ini kepada kedua ibu-bapaku, ibu dan bapa mertuaku semoga kau memberikan kesejahteraan kepada mereka di dunia dan akhirat. Sejahterakanlah mereka sebagaimana kau meluaskan rezeki kami, ya Allah!"
Usai Al-Fatihah Kedua, sebutkan:
"Aku sedekahkan Al-Fatihah ini kepada suami/isteriku serta anak-anakku semoga kau memberikan hidayah berterusan kepada mereka untuk beriman hanya kepadamu ya Allah! Jadikan kami insan-insan yang diketemukan Husnul Khatimah, ya Allah, dan jauhi kami azab seksa alam barzakh dan fitnah dajjal ya Allah!
Jadikan anak-anak kami anak yang soleh dan solehah, cemerlang hidup mereka di dunia dan akhirat."
Usai Al-Fatihah Ketiga, bacakan:
"Aku sedekahkan juga Al-fatihah ini kepada adik-beradikku, keluarga mereka, sanak-saudara kami serta sahabat-handai kami. Semoga kau permudahkan segala urusan mereka dan memberkati hidup mereka di dunia dan akhirat."
Doa kalian mungkin berbeza untuk meraka, tetapi 'tips' murah rezeki kali ini menekankan bahawa berdoa adalah kunci untuk dimurahkan rezeki. Berdoalah sentiasa untuk mereka yang penting di dalam hidup kamu iaitu, ibu bapa, ibu bapa mertua, suami atau isteri serta anak-anak, adik-beradik dan keluarga mereka, sanak-saudara dan sahabat-handai kita. Jadi, permulaan yang indah untuk kita dan semua kenalan kita, inshaAllah. Tidak perlu risau sama ada mereka tahu atau pun tidak.
Berdoalah untuk memurahkan rezeki kerana tidak kita ketahui rahsia Allah doa siapa yang diangkatNya. Wallahu 'alam.

No comments:
Post a Comment