Entah bagaimana, si abang berjaya mendapat bahagian yang banyak daripada harta itu. Si adik pula redha dengan harta yang ditinggalkan oleh abang untuknya, iaitu sebuah rumah dan kebun kecil di belakangnya.
Dipendekkan cerita, kehidupan si adik dan si abang jauh berbeza. Si abang, dengan harta yang ada, telah keluar dari rumah mereka dan berdagang di tempat orang. Si abang semakin berjaya setiap ketika. Hidupnya semakin mewah. Berjaya mengahwini anak orang kaya dan kehidupan mereka sangat mewah. Si abang mulai lupa akan si adik di kampung. Dia juga mulai lupa untuk menyembah Yang Maha Esa.
Si abang juga mula berasa sombong dan bongkak. Dia merasakan dirinya begitu hebat. Dia merasakan semua harta kekayaan yang dikumpulnya itu miliknya sendiri, iaitu, hasil titik peluh dan usahanya sendiri sahaja. Berlainan dengan adiknya yang masih di kampung, sangat miskin dan papa kedana. Si abang sering memperlekehkan keadaan si adik. Si abang tidak pula mahu membantu si adik dan jauh melupakan adiknya. Tambahan pula, si abang malu untuk memperkenalkan si adik kepada isterinya.
Si adik pula, seorang yang taat akan perintah Allah. Tidak pandai membaca. Tidak pandai menulis. Tetapi si adik amat rajin berdoa dan sentiasa mengerjakan ibadat hanya kepada Allah. Bagi si adik, cukuplah apa yang ada pada dirinya itu.
Suatu hari, si adik pergi buat selama-lamanya. Si abang telah diamanahkan untuk mewarisi apa yang ditinggalkan oleh si adik.
Lalu, usai urusan mengebumikan jenazah, pulanglah si abang ke rumah peninggalan kedua ibu bapa mereka itu. Dilihatnya sekeliling rumah yang tiada perubahan semenjak mereka kecil. Hanya sebuah almari yang terletak di tengah-tengah rumah tersebut. Masih almari yang sama tidak dianjakkan walau sedikitpun. Di dalam almari itu pula terdapat sekeping kertas yang telah usang wajahnya. Dibukanya perlahan-lahan akan kertas yang sudah hampir terkoyak itu.
Tertera di helaian itu tulisan si adik:
"Ya Allah Ya Tuhanku,
Aku bermohon kepada Engkau Ya Allah,
Jadikanlah abang ku seorang yang berjaya dan kaya,
Semoga dia dapat menjagaku hingga ke akhirnya."
Berderai air mata si abang setitis demi setitis hingga basah seluruh pipinya. Tidak disangka adik yang dilupainya itu sentiasa ingat akan dirinya dan tidak lupa untuk berdoa untuknya setiap hari.
Apa yang perlu kita peringati ialah, doa itu merupakan senjata kita. Berdoalah kita sentiasa untuk diri kita dan yang lain juga. Kerana, sesungguhnya kita tidak tahu antara mana doa yang Allah makbulkan.
Dan harus kita ingat, bukan semua kejayaan kita datang dari usaha dan doa kita sendiri. Mungkin ada antara doa orang lain untuk kita yang Allah penuhi.
Ujub, riak dan takabbur, pintaku jauhi.
No comments:
Post a Comment