Sunday, November 8, 2015

Entri Pengenalan

*Allahu Akbar.. betul-betul perlahan Farah ini..tak pa janji mahu mencuba!*

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokaatuh sahabat dan pembaca

Buat kesekian kalinya baru lah dapat saya mencoretkan Entri Pengenalan untuk blog ini sesudah berhari-hari tertangguh akibat kesibukan pelbagai tugas hakiki. Hari ini barulah dapat saya mengetik papan kekunci ini dengan aman dan kurang gangguan.

Dilahirkan kira-kira 39 tahun yang lalu, di selatan tanahair, telah dijanjikan Allah pada saat ini terbuka hati saya untuk menuntut ilmu yang diminati sedari zaman persekolahan, iaitu menulis. Semoga Allah permudahkan urusan menuntut ilmu baru ini kepada saya sebagai penuntut dan guru saya sebagai pengajar.

Diberikan pendidikan awal hanya Tahun 1, 32 tahun yang lalu, tanpa pendidikan formal di peringkat pra-sekolah. Namun Alhamdulillah, berkat usaha kecil saya mampu melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading di tempat orang. Perjalanan hidup saya bukan lah seindah yang disangka. Zaman persekolahan sehingga zaman belajar, saya boleh dikategorikan sebagai antara yang 'bertuah' kerana laluan saya mudah walaupun sukar bagi orang lain.

Namun, cabaran saya adalah di alam pekerjaan. Walaupun pulang ke tanah air dengan segulung ijazah, pekerjaan pertama saya hanyalah sebagai kerani audit di sebuah hotel dengan bergajikan RM900 sebulan, itupun setelah 6 bulan menganggur. Gigih mencari akhirnya, jodoh saya melekat dengan industri pendidikan di negara kita. Bermula dengan pegawai kualiti dan pensyarah di sebuah kolej yayasan di selatan tanah air, saya mula berjinak-jinak dengan tugas pensyarah dan di hujung kerjaya terlibat dengan bahagian pengurusan universiti swasta terkenal negara kita. 

Walaupun kedengaran hebat, pekerjaan tetap ini tidak pernah mendatangkan kepuasan menyeluruh kepada saya kerana saya secara harfiah saya adalah seorang peneroka, berani meneroka alam baru, berani meneroka ilmu baru. Buktinya, secara sambilan, saya mencuba ilmu masakan yang tidak pernah diajar oleh emak mahupun emak mertua saya. Saya meneroka perniagaan katering sejak akhir tahun 2013 dan masih diterima baik sehingga kini. saya juga meneroka ilmu pengurusan kewangan dan saya yakin ilmu ini perlu dikongsikan dengan semua rakan-rakan terutama adik-adik yang masih muda supaya pengalaman buruk dapat disempadani jauh lebih awal. 

Cuma, kekangan saya, personaliti yang kurang menarik dan bukan seorang pakar komunikasi terampil, menjadikan saya kurang mahir untuk menyatakan idea, ilmu dan pendapat (yang saya yakin bernas) secara bersemuka dengan orang lain. Maka, saya rasa jalan terbaik hanyalah dengan menulis, supaya sedikit pemgalaman dan ilmu yang ingin saya kongsikan memberikan manfaat kepada pembacanya.

Kebelakangan ini, saya pula mengaktifkan diri dengan kerja kebajikan walaupun tidak banyak, dan dari situ ditemukan Allah dengan sahabat yang mampu mencurahkan ilmu penulisan yang saya mahu tapi tidak mencari selama ini.

Moga impian saya untuk berkongsi sedikit ilmu dengan seramai mungkin dipermudahkan Allah hendaknya,

Wassalam.

No comments:

Post a Comment