Tuesday, March 8, 2016

Asrama Part 3

APRIL FOOL
Ni paling aku ingat, Raya Aidilfitri 1992 dalam bulan Mac tahun tu. Kami F4 satu dorm semua. Dok bilik ujung sebelum area toilet hostel. Masing-masing balik dari kampong bawak hasil macam-macam. Paling win hasil si Haideq. Dia bawak mercun tarik!
Kebetulan few days lepas  tu 1 April 1992. Dia bawak sekotak penuh mercun tarik. Muka masing-masing (aku, Haideq, Emma Kinah (headgirl pun terbabit eh), Ien, Rhy, Masn, Marnee ~ eh, ramai betul Buana dalam 5SS eh) memang tercari-cari plan nak buat apa dengan mercun tarik tu.

Haideq rumuskan nak bawak ke kelas mercun tarik tu sebab kalau kat asrama sah-sah warden memang akan rampas punya. Haideq kata kita plan timme rehat.

Kringggggg!!!!!! Fuh, lega rehat dah mula. Haideq dengan aku sebagai tekong besar plan nak buat camana. Paling ingat yang lain jaga pintu takut-takut bebudak lelaki balik terutama Azrin abang pengawas tu,dia tu kecoh sikit. Lagipun, dia akan pastikan aku (terutama aku lah) jadi murid paling berdisiplin. Aku memang tak labbiu la Rin.

Aku dengan Haideq mulalah mengikat tali mercun tarik tu kerusi ke meja kat meja Kang Kanin, Madon n monitor class berkaliber, Nesh (aku terngiang-ngiang ko selalu cerita kaler seluar kacik kau yang striking sokmo la Nesh!). Last sekali, akulah dalang yang ikat kat mercun tu dekat hook mangga locker Iskanin.

Lepas rehat, masing-masing menunggu je kejadian-kejadian seperti dirancang. Aduh, satu persatu mercun tarik kat kaki meja dan kerusi tu terkulai. Hampa betul kami. Hanya tinggal satu harapan, locker Iskanin. Cikgu Maths keluar, adeh, tak bangun pulak si Iskanin ni amik buku dalam locker. Selalu mamat ni tiap kali tukar cikgu mesti dia bangun pergi locker amik buku. Hampa lagi kami bila Cikgu Jamiah melangkah masuk ke dalam kelas. Muka aku dengan Haideq pasrah je dengan keadaan. Aku tak ingat biji butir apa yang Cikgu Jameah ajar hari tu, hati aku gundah. Cuma ingat Cikgu Jameah selalu buat pose angkat tudung kipas dada kegemaran bebudak lelaki (ceh macam aku tak tau eh korang!). 

Sedang kami leka dan tunduk menulis nota Sejarah, tiba-tiba suatu letupan kecil berlaku di kawasan locker belakang kelas kami diikuti dengan carutan manja Si Iskanin. Kami semua berderai gelak besar. Yes, plan menjadi akhirnya!

Tapi aku tak lupa muka merah Is sampai sekarang berdiri sebelah meja aku sambal menjerkah, “AKU TAU NI KERJA SIAPA! SIAP KAU!”


Aduiii… Is, ampuni aku eh… aku gelak paling kuat seperti biasa lah kan…. Oit, Cikgu Jameah pun gelak wehh…… I LABBIU IS! Hihihihi…..

Asrama Part 2

SAMSENG

Aduh langsung takde kaitan dengan aku. Aku punya lah sopan. Ada lak korang kata aku samseng eh.

Balik dari bilik guru disiplin, aku, Lin, Haideq, Masn, Ien, Ruzy dan Marnee bingkas balik ke kelas masing-masing. Puan Norizah sedang kusyuk mengajar Add Maths kat dalam kelas. Sebagai pelajar puteri yang sopan lagi hormatkan guru, aku masuk sambal memberitahu Puan Norizah, “Maaf cikgu, kami lewat, Cikgu Raja panggil kami tadi” Rakan-rakan yang lain dah mula menuju pantas ke kerusi masing. Puan Norizah menoleh tepat ke mukaku, “Oh, inilah samseng asrama puteri ye..?” Sekilas itu, gelak tawa rakan-rakan 5SS berderai. Aku peduli apa. Terus ku duduk tanpa arahan jelas dari Puan Norizah. Aku pasti kisah kami telah tersebar ke seluruh bilik guru, sahih.

Setengah jam sebelum itu, Cikgu Raja punya berlagak dah mengherdik kami bertujuh. Macam-macam perkataan keluar dari mulutnya bila kami menjawab. Adeh. Dah puas kami diherdik, barulah kami dilepaskan ke kelas. Ah, cikgu, ko memang dengki  dengan aku sejak aku tolak jawatan pengawas aritu kan!

Balik ke asrama, kami semua ingat balik kisah malam hujung minggu sebelum itu.

Kami bukannya panggil adik-adik junior tu suruh cium loker ke, tiup lampu sampai terpadam ke (memang lampu dah padam pun time tu, pkl 11 lebih korang oi!) Kami cuma having fun aje dengan diorang.

Aku ingat lagi Izan (adik Ien) jadi choreographer malam tu ajar kami 'moon dance', 'break dance' dan sebagainya. Aku ingat kami gelak-gelak je. Mungkin ada yang terkasar bahasa hanyalah si Ruzy dengan Haideq. Oh diorang ni muka memang penyayang tapi bila bab junior, terkeluar hati batu diorang. Ceh, korang baca ni mesti ingat Ruzy lovey dovey hek… kaammiii je tau Ruzy…. Hahahha.. dia dengan Rohan mmg sama spesis, genit comey lotey… tapi bab buli junior (eh, buli pulak, ice-breaking dengan junior), mata merah diorang pon keluar oii…
Tapi kalau aku, mmg muka nampak macam tokey pinjam wang tak berlesen, tapi hati banyak taman oooo….

Yang penting kalau aku ni samseng, aku kategori paling baik lah. Khalas.

Asrama Part 1

“Kak Long, lapar tak?” tanya Ien. “Lapar lah..”, balas Kak Long, diikuti angguk Si Diella. Aduh… salah bajet pulak. Suruh balik hostel awal seminggu, sediakan lah makanan kat dewan oi. Aduh, dewan makan tutup pulak. “Kita keluar, nak tak?” tanya Kak Long. Terpinga-pinga campur excited muka rakan-rakan sepernakalannya. “Nak keluar camana Kak Long?” “Takpe kita mintak izin keluar”
Berduyun lah gadis-gadis kelaparan berlalu menemui Pak Guard bertugas meminta izin keluar. Sudah tentulah tidak diizinkan. Berpikir lah kelompok2 gadis sunti memikir apa perlu dimamah malam itu. Akhirnya, peluang terbuka luas, kelibat Pak Guard menjelajah seluruh sekolah mencetus idea Kak Long mengajak rakan-rakannya menyelinap keluar dari pagar. Daripada bertujuh, tinggal bertiga yang setuju dengan idea itu. Pantas yang lain mengirim hasil pula. Laju langkah Kak Long, Ien dan Diella menyusup jalan berlampu samar menuju ke jalan besar. Yes! Berjaya!
Tidak banyak yang difikirkan tetapi kepala  Kak Long ligat mencungkil idea mencari jalan pulang. Buntu!
Sampai di destinasi, pantas mulut mereka menempah makanan, untuk di makan juga dibungkus. Dalam kebuntuan, mereka disergah pula oleh geng-geng fly sang putera. Fiszam, Babum, Zur dan seorang lagi yang samar-samar di ingatan.
“Oi, camana korang boleh terlepas ni? Hah, nak balik korang nak lalu mana pulak?” Pantas soalan cepu emas si Fiszam ni tanya. Atas dasar taiko, selamba Kak Long menjawab. “Tah le, aku tau keluar ke, masuk aku tak reti”
Tak pasal-pasal soalan di Fiszam menyebabkan dia juga terpaksa memikirkan masalah 3 sekawan tadi. “Takpelah korang balik dengan kitorang je nanti”
Habis bedeng, menyusup lah mereka bertujuh menuju ke arah sekolah mereka yang tersergam di atas bukit itu. Kak Long sedar dia bertanggungjawab ke atas rakan-rakannya. Tapi tanggungjawab itu seakan-akan terletak di bahu Fiszam pulak kali ini. “Ah, lantaklah, janji kami dapat balik asrama” bentak Kak Long dalam hati. Menghampiri blok A, mereka bertujuh menyusup ala komando di tebing bukit kecil tepi asrama itu. “Aduh, Pak Guard lah!” bisik Fiszam. Tergamam mereka bertujuh. Ien terjatuh tersalah langkah. Mujur Zur dan Babun ada menyelamatkan keadaan. Desup- desap mereka bersembunyi. Agak lama mereka menyepi. Kelibat pak guard tetap di situ. Gusar. Kak Long dah mula kesiankan rakan-rakan sepernakalannya. Adalah dalam sejam atau lebih, mereka putuskan mahu pulang ke asrama. Mendaki bukit lagi. Fiszam, Babun dan Zur berusaha untuk memastikan 3 dara pingitan itu selamat. Kak Long dah nampak pagar Blok C. Alhamdulillah! Kau memang sahabat aku, Fiszam, bisik hati kecil Kak Long. Tapi ekor mata Kak Long terpandang susuk sang pengawas di Blok B. Aduh, lantak lah.

Malam itu berakhir dengan Kak Long berjaya membawa pulang hasil untuk rakan kelaparan. KakLong tidur dengan perut kekenyangan tapi gusar dengan apa yang bakal menanti di hari mendatang. Habislah aku, fikir Kak Long. 

Monday, January 18, 2016

Masalah Tersembunyi

Jujur saya katakan, bekerja di sebuah universiti swasta yang mengenakan yuran tertinggi di dalam negara ini, membuatkan saya berfikir beribu kali untuk mengatur kehidupan anak-anak saya. Di sini, saya melihat pelbagai ragam kerenah ibu/bapa/anak-anak. Mereka ini dari golongan berpendapatan tinggi, saya berani katakan ini kerana mereka mampu membayar sekurang-kurangnya RM100k untuk pembelajaran 4 tahun.

Namun, menyedihkan apabila kami melihat anak-anak mereka ini, apabila ada antara mereka yang mengambil keputusan untuk mencabut nyawa masing-masing, sekurang-kurangnya 2 kes setakat ini.

Saya perhatikan keadaan ini semakin kritikal setiap hari.

Hal ini membuatkan saya berfikir, apakah tugas utama saya sebagai ibu dan ayah untuk membentuk anak kami supaya dijauhi Allah akan perkara-perkara sebegini. Na'uzubillahi min zalik.

Saya tidak mahu walau seorang pun anak-anak kami menyembunyikan apa-apa jua masalah mereka.

Saya berdoa semoga anak-anak saya dipelihara daripada segala kejahatan.

Wahai rakan ibu dan bapa sekalian,

Dengarilah anak-anak kita. Ambillah kebaikan dari petikan filem 3Idiots : "Setiap bayi yang dilahirkan, tidak ditanya apa mahunya, tetapi sudah dicop apa jadinya bila dewasa nanti"




Mohon kita peka, anak-anak kita corakan kita untuk peribadinya, tetapi untuk hidupnya itu mahu mereka. Dengarilah mereka.

Thursday, December 3, 2015

Ajal

Terngiang-lagu kumandang lagu dari IKIM.fm pagi tadi,

"Orang kaya mati,
Orang miskin mati,
Raja-raja mati,
Rakyat biasa mati.

Semua orang pergi,
Mengadap Ilahi,
Dunia yang kau cari,
Tiada yang berarti."

Sungguh. Apakah dunia bagi kita? Tempat istirahat, tempat berseronok, tempat mengumpul harta? Ingatlah, semua itu tiada bererti setelah kita pergi mengadap Ilahi.

Teman-teman,

Jadikanlah dunia yang sementara ini sebagai tempat untuk kita bersedia tika mengadap Yang Maha Esa, Yang Maha Pencipta.

Takutkanlah kita akan azab seksa api neraka yang maha dahsyat. Takutlah kita dengan tidak bersedia apa-apa. Ketahuilah, Dia Yang Maha Pencipta mahukan kamu taat dan melakukan segalanya Amar Makruf Nahi Mungkar.




Tuesday, December 1, 2015

100 Hari Sebelum Tibanya Jemputan Itu


Di akhirnya, kita semua akan dijemputNya

Di pejabat pagi ini, teman sepejabat menceritakan kegelisahan tentang keadaan ibunya yang sudah berbulan-bulan terlantar di katil. Pelbagai kesakitan yang dihadapi ibunya. Dalam masa yang sama, beberapa teman sepejabat jua ada pelbagai kisah tentang keadaan orang tua mereka.

Secara normalnya, sebagai anak, kita mahu kedua-dua ibu bapa kita ada sentiasa bersama kita dan sihat selalu.

Kita anak yang terlalu mementingkan diri sendiri. Malah Allah telah peringatkan keepada kita bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui ajal mereka.

Anak-anak, ketahuilah, saat kematian itu hanyalah dirasai oleh mereka yang menemuinya. Jangan lah kita bersikap mementingkan diri sendiri yang orang tua kita sentiasa ada untuk kita. Terimalah hakikat sebuah kehidupan.

Saya teringat akan arwah ibu mertua saya sendiri. Meninggal ketika usianya baru menjangkau 56 tahun. Mak menghidap pelbagai jenis penyakit, darah tinggi, kencing manis dan sentiasa taat dengan ubat-ubatan dan pemeriksaan doktor.

Namun andai kata Allah menetapkan kematian, 'kun fayakun' tidak lewat tidak cepat, nyawa akan tercabut dari jasad kita. Begitulah juga mak. Tidak terkecuali. Begitu juga kita nanti. Tidak terkecuali.

Sahabat-sahabat, andai keadaan orang tua kita uzur, perlukan perhatian dan mungkin banyak  tanda-tanda kematian telah mereka lihat, terimalah. haruslah kita jadi orang yang paling redha akan ketentuanNya. Iya, kita boleh berusaha untuk mengobati mereka, tetapi bukan memaksa mereka menjadi oorang yang pulih dah sihat seperti ketika mereka berupaya. Fahamilah mungkin mereka menanti saat-saat untuk dijemputNya. Penuhilah tika itu dengan pengisian yang diajar Rasulullah SAW dan dituntut Allah SWT Maha Pencipta.

Redha.


Thursday, November 26, 2015

PK dan Brother Abu Bakar ~ Bahagian 1


Semalam dalam fb saya ada kongsikan sebuah video tentang penghijrahan seorang pemuda Australia yang dilahirkan sebagai seorang Kristian tetapi diterapkan nilai seorang Atheis oleh kedua ibubapanya. 

Hidupnya sebagai seorang Atheis sangat seronok, dan dalam masa yang sama huru-hara. Saya sangat seronok menonton video pemuda Atheis itu. Kisahnya, dia menjadi sangat kecewa dengan hidupnya ketika di tahun satu pengajian di universiti. Pelbagai kisah sedih berlaku dalam 2 minggu tika itu. Dia mula menyalahkan Tuhan tetapi dia masih belum berpuas hati. Lalu dia bernekad untuk mencari Tuhannya sendiri.

Dia memulakan dengan Kristian, masih tidak pasti kerana paderi menjawab tanpa merujuk kepada apa yang tercatat di dalam kitab Injil. Ringkasnya, paderi memberi jawapan dari pendapatnya kebanyakan masa.

Bekerja bersama seorang Hindu, si Atheis ini bertanyakan kenapa menyembah patung berkepala gajah itu, Ini Gisha, jawabnya ringkas. Eh, kenapa tak pilih yang lebih baik, kepala singa ke, harimau ke. Langsung tidak termasuk di dalam akal si Atheis. Dia mencari pula ilmu tentang Mormon, yang paling lengkap dari kalangan agama Kristian. Hampir sahaja si Atheis ini menjadi seorang Mormon tetapi dia masih tidak berpuas hati kerana tiada bukti yang nyata. Mencari lagi, si Atheis berjumpa dengan Judaism, Buddhism. Semuanya nampak tenang, tetapi pada si Atheis kedua-duanya adalah untuk kehidupan yang lebih baik sahaja, tetapi tiada tujuan untuk hidup itu.

Bertanyalah seorang sahabat kepadanya, "Bagaimana dengan Islam?" Pantas katanya, "Hah, Islam, teroris itu? Kenapa mesti saya mencari tentang agama yang ganas itu?" Namun tidak berapa lama, dia berjumpa sebuah masjid lalu memasukinya. Seorang lelaki (salah seorang pensyarah di universitinya) mempelawanya masuk dan bertanyakan khabar si Atheis. Dalam hati si Atheis, peramahnya orang yang berjanggut ini.