Thursday, November 26, 2015

PK dan Brother Abu Bakar ~ Bahagian 1


Semalam dalam fb saya ada kongsikan sebuah video tentang penghijrahan seorang pemuda Australia yang dilahirkan sebagai seorang Kristian tetapi diterapkan nilai seorang Atheis oleh kedua ibubapanya. 

Hidupnya sebagai seorang Atheis sangat seronok, dan dalam masa yang sama huru-hara. Saya sangat seronok menonton video pemuda Atheis itu. Kisahnya, dia menjadi sangat kecewa dengan hidupnya ketika di tahun satu pengajian di universiti. Pelbagai kisah sedih berlaku dalam 2 minggu tika itu. Dia mula menyalahkan Tuhan tetapi dia masih belum berpuas hati. Lalu dia bernekad untuk mencari Tuhannya sendiri.

Dia memulakan dengan Kristian, masih tidak pasti kerana paderi menjawab tanpa merujuk kepada apa yang tercatat di dalam kitab Injil. Ringkasnya, paderi memberi jawapan dari pendapatnya kebanyakan masa.

Bekerja bersama seorang Hindu, si Atheis ini bertanyakan kenapa menyembah patung berkepala gajah itu, Ini Gisha, jawabnya ringkas. Eh, kenapa tak pilih yang lebih baik, kepala singa ke, harimau ke. Langsung tidak termasuk di dalam akal si Atheis. Dia mencari pula ilmu tentang Mormon, yang paling lengkap dari kalangan agama Kristian. Hampir sahaja si Atheis ini menjadi seorang Mormon tetapi dia masih tidak berpuas hati kerana tiada bukti yang nyata. Mencari lagi, si Atheis berjumpa dengan Judaism, Buddhism. Semuanya nampak tenang, tetapi pada si Atheis kedua-duanya adalah untuk kehidupan yang lebih baik sahaja, tetapi tiada tujuan untuk hidup itu.

Bertanyalah seorang sahabat kepadanya, "Bagaimana dengan Islam?" Pantas katanya, "Hah, Islam, teroris itu? Kenapa mesti saya mencari tentang agama yang ganas itu?" Namun tidak berapa lama, dia berjumpa sebuah masjid lalu memasukinya. Seorang lelaki (salah seorang pensyarah di universitinya) mempelawanya masuk dan bertanyakan khabar si Atheis. Dalam hati si Atheis, peramahnya orang yang berjanggut ini. 



Tuesday, November 24, 2015

Kasih Anak Syurga - Bahagian 1

Terngiang-ngiang suara ustazah, "Puan, saya tak tahu macam mana nak mula. Tapi lepas puan pulang dari menziarahi kami, dalam hujan ada seorang bapa datang memnbawa anak lelakinya yang berumur 10 tahun ke madrasah untuk bertemu dengan Ummi."

Sambung ustazah lagi, "Di madrasah, tiada orang lain yang tinggal di situ kecuali Teacher Fatimah dan beberapa pelajar perempuan. Saya tidak sampai hati puan, saya bawa Muhammad itu pulang ke rumah saya."

Rupa-rupanya, bapa Muhammad telah mendengar kisah tentang Ummi dan madrasah melalui perkongsian viral di laman sesawang. Si bapa dan si ibu telah bersepakat untuk meletakkan Muhammd di bawah jagaan madrasah, mungkin untuk selama-lamanya.

Allahu Akbar. Terdiam saya mendengar keluh dan kisah si Muhammad dari bicara ustazah.

11 tahun yang lalu, kisah percintaan Salih dan Ina tidak dapat disangkal lagi. Bibit-bibit percintaan mereka telah menjerat diri sendiri apabila Ina disahkan mengandung beberapa minggu. Seboleh-bolehnya Ina mahu membuang kandungannya itu sedari awal tapi sentiasa dihalang oleh Salih. Alasannya, dia tetap akan mengahwini Ina setelah semuanya selamat. 

Sungguh bagai dikata, Salih mengotakan janjinya terhadap Ina apabila mereka sah diijabkabul beberapa bulan kemudian. Walaupun bahagia bergelar suami isteri, Salih dan Ina masih buntu akan masa depan bayi yang dikandungnya. Sering didesak oleh Ina, Salih menurut semua keputusan Ina dalam segala genap urusan suami isteri.

Minggu berlalu, akhirnya bayi yang dikandung lahirlah ke dunia. Ada kala bayi kecil yang diberi nama Muhammad ini dilayan seperti bayi-bayi lain. Dijaga oleh ibu bapa semampu mungkin. Tapi kasih sayang mereka tidak bertahan lama. Apabila Ina mengandung anak kedua, Muhammad telah disisihkan dan sentiasa menjadi seperti anak pungut kepada Salih dan Ina. Membesar sebagai anak yang disisihkan, Muhammad langsung tidak berkecil hati. Tidak pernah sekali pun Muhammad dihantar sekolah. Tika adik-adiknya bersekolah, Muhammad akan menjaga rumah sementara Salih dan Ina bekerja. Ada tikanya juga Muhammad bertanyakan kepada ibu dan bapanya kenapa dia tidak bersekolah. Ringkas jawapan Ina, "Nanti siapa yang nak jaga rumah, nak masak, nak tunggu adik-adik balik dari sekolah?" Muhammad tidak pernah tersinggung.

Beberapa tahun berlalu, Salih dan Ina dikurniakan lagi 2 orang anak lain menjadikan Muhammad semakin terabai. Benci Ina terhadap Muhammad semakin menebal. Apa sahaja yang dilakukan Muhammad pasti ada kesalahan di mata Ina. Muhammad masih taat kepada ibu bapanya. Dia redha dengan layanan ibunya terhadapnya walaupun kasar.

Beberapa minggu kebelakangan ini, Salih pulang dengan wajah ceria apabila mendapat tahu tentang madrasah yang dikelolakan oleh Ummi Rusnah.  Salih mendapat akal untuk meng'halau' Muhammad dari keluarga mereka dengan baik. Salih berpakat dengan Ina untuk menghantar Muhammad ke madrasah yang dibual ramai tersebut. Dengan itu, dia dan Ina tidak perlu risau akan kebajikan, pakaian dan makan minum Muhammad di madrasah nanti. Orang di Malaysia bukankah terkenal dengan murah hati mereka. Lebih-lebih lagi kisah yang telah viral di alam maya. Idea Salih ini terus dipersetujui oleh Ina, serta-merta.

Keesokkan harinya, Ina memasak di dapur dan seperti biasa ditemani Muhammad. "Mat, ni Ahad nanti Pak hang nak nganto hang ke sekolah nun di KL sana. Hang mau  ka? Hang dok harap nak sekoloh kan. Hah, pi ikut pak hang minggu nanti?" Muhammad tersengih, girang bukan kepalang. 

"Mak, awat ke KL mak? Muhammad tak balik lagi ka sini?" "Itu asrama lah,Mat oi..! Hang dok sana, mengaji Quran. Hang belajar elok-elok na. Hang nanti jadi ustad, boleh pimpin mak pak hang ni masuk syurga!" 

Perasaan girang bertuakr risau. Apa yang hendak dipelajarinya nanti. Garangkah ustaz atau ustazah di sana. Risau andai ditanya berlebih-lebihan, naik berang ibu dan bapanya itu. Maka, Muhammad tiada pilihan. Disusunnya baju 3 pasang ke dalam beg lusuh milik ayahnya dahulu. Esok pagi, ayahnya berpesan untuk keluar rumah sebelum pukul 7 pagi. Langkahnya perlahan tanda akur dan taat.

Sepanjang perjalanan, Muhammad banyak berdiam. Hatinya meronta mahu bertanya itu dan ini tetapi bagai tersekat di halkum tika melihat air muka ayahnya.

Perjalanan 5 jam di atas bas disambung dengan sebuah teksi. Teksi meluncur laju menuju ke destinasi yang diarahkan oleh Salih.

Hampir sejam, Muhammad dan Salih berdiri di perkampungan yang agak dhaif dari segi infrastrukturnya. Tercari-cari madrasah yang sering dibualkan oleh warga alam maya itu. Ternampak papan tanda berwarna kuning. Lega hatinya. Betul, mereka telah sampai di tempat yang ditunggu.

Hari minggu itu masih hiruk-pikuk dengan gelagat puluhan anak-anak kecil dengan seragam sekolah itu. Salih menerpa ke arah wanita pertengah umur yang berdiri di beranda madrasah itu. "Assalamualaikum, ini Puan Rusnah ke?" "Waalaikumussalam, iye, saya" jawab wanita itu.

Salih terus memperkenalkan dirinya,"Saya Salih dan budak lelaki ini anak saya, Muhammad. Saya mahu serahkan Muhammad ini kepada puan untuk diajar dan dibela oleh pihak madrasah ini puan. Ini sijil lahir Muhammad untuk simpanan puan" Tanpa sempat Puan Rusnah berkata apa-apa, Salih memerintahkan Muhammad, "Mat, nah, hang ikut makcik ni. Abah tinggalkan hang kat sini,pandai-pandai hang nak mengaji sini" Perlahan anggukan Muhammad. Setelah berterima kasih kepada Puan Rusnah, berlalulah Salih dari pandangan.

Disalam dan diciumnya tangan wanita separuh umur di hadapannya. "Makcik, boleh saya tinggal di sini?" Berjuraian airmata Ummi Rusnah yang tidak mampu untuk mengatakan tidak kepada anak syurga ini. Dipandangnya helai kertas di tangannya hanya berdoa kepada Allah, berikanlah kekuatan kepada dirinya untuk menahan kesedihan perihal bapa yang tidak mahu anak sendiri.

Wednesday, November 18, 2015

3A1B1C

"Mama marah ke kalau kakak tak dapat 5A?"
Eh, anak ini, macam tu pula gaya menanya soalan kat kita. Saya diam. Bukan tanda saya tidak bersetuju atau sebaliknya. 

Saya yakin, Allah menciptakan satu-satu makhluknya mengikut terapan yan sempurna. Setiap antara kita adalah pelengkap kepada yang lain.

rupa si penanya soalan di atas

Saya akui, sejak melahirkan anak ke-3 hingga ke-6, jarang saya paparkan wajah anak pertama saya dan ke-2. Sebabnya mungkin kecomelan bayi mereka dah hilang, sering digantikan dengan comel adik-adik mereka sahaja. Jujur, saya tidak berlaku adil.

Berbalik kepada soalan di atas, ye Nuralia ini hanya mendapat 3A1B1C untuk peperiksaan UPSRnya baru-baru ini. Perasaan saya? Bercampur-baur sebenarnya. Lebih-lebih lagi setiap 'uploads' kawan-kawan saya di 'facebook' hampir semuanya berkisarkan kecemerlangan anak-anak mereka dengan pencapaian 5A, pelajar terbaik sekolah dan pelbagai lagi kisah seumpamanya.

Sebagai ibu yang perjalanan hidup dalam akademik agak menyerlah, saya ada rasa terkilan akan keputusan ini. Kenapa tidak 5A, anakku? Agak malu dengan rakan-rakan yang punya anak-anak cemerlang. Tetapi perasaan itu saya buang jauh-jauh dari sudut hati dan akal saya. Saya tidak mahu perasaan itu melintas lagi di fikiran saya.

Saya terus tumpukan kepada perasaan BANGGA. Saya bangga dengan pencapaian anak saya. Keputusan itu benar-benar hasil usaha dia dan gurunya di sekolah, di samping doa saya setiap masa supaya dia menjadi anak solehah yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Saya berbangga mempunyai anak sepertinya kerana walaupun sibuk dengan persiapan peperiksaan, setiap hari dia akan dipaksa membantu kami dengan adik-adiknya. Dia membantu saya mencuci pakaian, menyidainya dan melipatnya,lalu disusunnya. Dia juga memandikan adik-adiknya yang masih kecil sebelum ke sekolah. Balik dari sekolah, akan membantu kami menjaga adik-adiknya yang berlima itu.

Masa mengulangkaji? Jujurnya, memang jarang-jarang ada.

Dia juga tidak mahu meninggalkan solatnya. Tika saya pulang dari kerja, antara soalan pertamanya, "Mama dah solat?" Andai belum jawapan saya, dia akan mengaturkan jadual, "Mama solat dulu, nanti kakak solat pulak boleh Mama jaga adik"

Jadi, andai saya kata saya kecewa Nuralia tidak berjaya hanya kerana tidak mendapat 5A, saya ibu yang paling teruk di dunia dan akhirat. Nuralia hanyalah seorang anak hasil corakan kami ibu bapanya. Keputusan di kertas bukanlah penjamin keputusan di buku amalan.

Saya akhirnya sujud bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan anak yang pintar akalnya. Bijak membahagikan masa untuk fokus kepada minatnya, baik dari segi akademik, atau hobi memasaknya. Bijak juga mengatur masa untuk membantu ibu bapanya. Malah, tidak lupa juga akan perintah Allah.

Rakan-rakan ibu bapa sekalian,

Sekalung tahniah buat anda yang punya anak 5A dalam UPSR baru-baru ini. Tahniah ibu dan bapa semua.

Cuma andai ada tika, biarlah kita renungkan adakah anak yang kita corakkan ini dicorakkan hanya untuk dunia semata-mata. Berdoalah untuk akhirat jua.

Buat Nuralia Izzurah Ahmad Izzuan,

Percayalah Mama dan Ayah amat berbangga punya kamu 3A1B1C itu. Kamu jadilah insan solehah, cemerlang hidup kamu di dunia dan akhirat. Kamu punya Mama dan Ayah setiap masa. Percayalah.

Monday, November 16, 2015

Kisah Si Miskin dan Si Kaya

Kisahnya disebut di suatu zaman lalu. Kisah dua beradik yang ditinggalkan yatim piatu. Hanyalah yang tinggal harta sepeninggalan ibu ayah mereka.

Entah bagaimana, si abang berjaya mendapat bahagian yang banyak daripada harta itu. Si adik pula redha dengan harta yang ditinggalkan oleh abang untuknya, iaitu sebuah rumah dan kebun kecil di belakangnya.

Dipendekkan cerita, kehidupan si adik dan si abang jauh berbeza. Si abang, dengan harta yang ada, telah keluar dari rumah mereka dan berdagang di tempat orang. Si abang semakin berjaya setiap ketika. Hidupnya semakin mewah. Berjaya mengahwini anak orang kaya dan kehidupan mereka sangat mewah. Si abang mulai lupa akan si adik di kampung. Dia juga mulai lupa untuk menyembah Yang Maha Esa.

Si abang juga mula berasa sombong dan bongkak. Dia merasakan dirinya begitu hebat. Dia merasakan semua harta kekayaan yang dikumpulnya itu miliknya sendiri, iaitu, hasil titik peluh dan usahanya sendiri sahaja. Berlainan dengan adiknya yang masih di kampung, sangat miskin dan papa kedana. Si abang sering memperlekehkan keadaan si adik. Si abang tidak pula mahu membantu si adik dan jauh melupakan adiknya. Tambahan pula, si abang malu untuk memperkenalkan si adik kepada isterinya.

Si adik pula, seorang yang taat akan perintah Allah. Tidak pandai membaca. Tidak pandai menulis. Tetapi si adik amat rajin berdoa dan sentiasa mengerjakan ibadat hanya kepada Allah. Bagi si adik, cukuplah apa yang ada pada dirinya itu.

Suatu hari, si adik pergi buat selama-lamanya. Si abang telah diamanahkan untuk mewarisi apa yang ditinggalkan oleh si adik.

Lalu, usai urusan mengebumikan jenazah, pulanglah si abang ke rumah peninggalan kedua ibu bapa mereka itu. Dilihatnya sekeliling rumah yang tiada perubahan semenjak mereka kecil. Hanya sebuah almari yang terletak di tengah-tengah rumah tersebut. Masih almari yang sama tidak dianjakkan walau sedikitpun. Di dalam almari itu pula terdapat sekeping kertas yang telah usang wajahnya. Dibukanya perlahan-lahan akan kertas yang sudah hampir terkoyak itu.

Tertera di helaian itu tulisan si adik:

"Ya Allah Ya Tuhanku,
Aku bermohon kepada Engkau Ya Allah,
Jadikanlah abang ku seorang yang berjaya dan kaya,
Semoga dia dapat menjagaku hingga ke akhirnya."

Berderai air mata si abang setitis demi setitis hingga basah seluruh pipinya. Tidak disangka adik yang dilupainya itu sentiasa ingat akan dirinya dan tidak lupa untuk berdoa untuknya setiap hari.

Apa yang perlu kita peringati ialah, doa itu merupakan senjata kita. Berdoalah kita sentiasa untuk diri kita dan yang lain juga. Kerana, sesungguhnya kita tidak tahu antara mana doa yang Allah makbulkan.

Dan harus kita ingat, bukan semua kejayaan kita datang dari usaha dan doa kita sendiri. Mungkin ada antara doa orang lain untuk kita yang Allah penuhi.

Ujub, riak dan takabbur, pintaku jauhi.


Thursday, November 12, 2015

Tips Anak Hebat

Anak-anak hebat. Itu impian setiap ibu dan bapa yang punya mereka.

Bagi saya, 6 orang kesemuanya. Setiap antara mereka, berlainan wataknya.

Doa. Itu senjata. Penting bagi ibu atau bapa atau, lebih baik, kedua-duanya mendoakan anak setiap masa.

"Ya Allah, kau peliharalah zuriat keturunan kami ini dari segala musibah dan kejahatan. Tetapkanlah iman mereka dan istiqomahkanlah mereka dalam menjalani ibadah hanya kepadamu Ya Allah! Jadikanlah mereka anak-anak soleh dan solehah, cemerlang hidup mereka di dunia dan akhirat."

Anak saya di atas ini anak yang ke-3. Nakal, iya, tidak dinafikan. Masih kanak-kanak hampir berusia 6 tahun beberapa minggu lagi.  Berlainan dengan anak-anak kami yang lain. Manja, kadang-kala terlebih manja, kata ayahnya. Setiap hari akan saya hantar ke sekolah (sebuah pusat tahfiz ala 'homeschool'), di mana ada beberapa pelajar yang tinggal di sana. Setiap kali ke sekolah (dia dan kakak) akan saya terapkan supaya membaca niat untuk ke sekolah (suruh mereka letakkan telapak tangan kanan di dada sebelah kiri):

"Ya Allah Ya Tuhan kami, sahaja aku pergi ke sekolah pada hari ini untuk menuntut ilmu yang baik-baik, supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, cemerlang di dunia dan akhirat"

Pendek sahaja tetapi besar manfaatnya jika diamalkan setiap hari. Benar.

Kami lakukan sepanjang tahun ini. Alhamdulillah banyak kesan positif bagi kami.

Anak-anak nakal (itu memang sikap semulajadi kanak-kanak), tetapi masih mudah dikawal.

Suatu yang tidak saya jangka datang dari anak saya yang ke-3, yang kami panggil Achik ini, bila malam tadi (Khamis, 29 November 1437), dia meminta duit untuk ke sekolah lebih RM1 dari biasa:

Achik: Mama, esok Achik nak bawa RM3 pergi sekolah ye
Mama: Eh, banyaknya. Nak buat apa? Kan Achik bawak RM2 aje. Achik RM1, Angah RM1
Achik: Esok Achik RM1, Angah RM1, RM1 lagi Achik nak bagi Abang Malik
Mama: Abang Malik tu siapa?
Achik: Abang Malik tu tinggal di asrama lah, Mama. Dia tak ada duit, Mama.
Mama: Oh... baiklah. Esok Mama bagi Achik duit di dalam kereta ye.

Saya terkedu campur terharu. Dalam kenakalan anak saya ini, ada kemuliaan yang Allah tunjukkan tika dia memikirkan kesusahan rakan sekelasnya.

Sebetulnya, kami suami isteri juga menggalakkan dan semampu mungkin mahu melakukan jariah yang berpanjangan. Moga Allah menerima amal kami dan jauhi hati kami dari sikap ujub, riak dan takabbur.

Benar orang kata, anak buat apa ibu dan bapanya lakukan di hadapan mereka.


Wednesday, November 11, 2015

Tips Boss Hebat



Anda seorang boss? Anda rasa anda hebat? Rasakan sekali lagi.

Pada pendapat saya, kehebatan seorang boss terletak secara keseluruhannya di atas anak-anak buahnya. Anak-anak buah hebat, hebatlah boss itu. Anak buah kurang hebat, maka ada yang perlu ditingkatkan oleh boss itu sendiri.

Tips kali ini saya ingin berkongsi pendapat dengan sahabat-sahabat semua apabila kita menjadi boss suati hari nanti atau sememangnya seorang boss.

Situasi:

Salah seorang anak buah anda menghantar pesanan SMS atau WhatsApp di telefon anda mengatakan yang dia tidak dapat hadir ke pejabat pada hari itu kerana apa jua sebab sekalipun. Dalam masa yang sama anak buah yang lain juga menghantar mesej memberitahu yang dia akan masuk lewat kerana menjalani pemeriksaan kesihatan anti-natal di klinik kesihatan berhampiran rumahnya.

Jika anda seorang boss, apakah reaksi anda?

Kerap kali, boss akan membalas mesej itu dengan 'OK', 'Noted' atau 'Take care'. Atau ada yang langsung tidak membalasnya  namun, masih membaca mesej tersebut.

Boss yang kurang hebat (juga selalu ada) akan membalas mesej anak-anak buahnya dan membalasnya sekerap mungkin! 

Tips boss hebat, pertama sekali mestilah meletakkan diri kita sebagai anak buah kita tika itu. Apakah yang paling anak buah itu  perlu saat itu menentukan hebat atau tidak kita sebagai boss mereka. 

Ingatlah, hanya ada sedikit perbezaan di antara menjadi boss yang mengambil berat dengan boss yang menyakitkan hati (caring and annoying). Bezanya adalah, niat dan tujuan kita sebagai boss saat menghantar mesej bertalu-talu kepada anak buah kita itu. Adakah kita menghantar mesej dengan tujuan untuk mengetahui kerja yang tertangguh? Atau untuk mengetahui keadaan semasa anak buah kita yang terpaksa tidak hadir ke tempat kerja itu?

Iya, kedua-duanya perlu. Cuma beza boss hebat, dia ambil tahu kerja tertangguh dan keadaan semasa supaya anak buah itu tidak perlu tertekan dengan keadaan kedua-duanya. Kerja tertangguh itu perlulah diuruskan oleh boss hebat itu jika perlu disiapkan hari yang sama. Andai tidak, masih boleh dibiarkan untuk anak buah itu selesaikan hari berikutnya. Tidak perlulah kita tergesa-gesa menghantar mesej bertalu-talu untuk 'mengambil berat' tentang keadaan anak buah kita. Tetapi, di sebalik itu, Sebenarnya kita mahu anak buah kita sedar akan kerja yang tertangguh itu.

Tuan puan boss sekalian, apa yang penting di hatimu? Anak buahmu atau kerja di jabatanmu? Tiada anak buah, maka tiadalah kerja yang dapat dilakukan. Jadilah BOSS HEBAT!

Memetik kata-kata BOSS HEBAT, Richard Branson:




Tuesday, November 10, 2015

Tips Murah Rezeki

Allah menjadikan kita berlainan dari setiap orang yang lain. Benar. Tetapi masih ada yang mahu membeza-bezakan nasib diri mereka dengan orang lain. Buktinya, sepanjang perjalanan ke tempat kerja pagi tadi, terdengar dari corong radio, penceramah siri motivasi mengesahkan bahawa Facebook sekarang ternyata membuat ramai orang dalam kemurungan. Kenapa ini terjadi? Mudah, setiap dari kita mahu menjadi seperti orang lain. Kita sentiasa membayangkan kehidupan orang lain itu lebih baik dari kita, melalui status-status rakan kita di Facebook. Sudahnya, kita juga yang murung kerana menyangka 'rezeki' kita tidak sebaik rakan-rakan kita yang lain.

Duhai teman, yakinlah Allah itu Maha Adil. Rezeki kita tidak sama dengan rezeki orang lain. Dia menjadikan kita berbeza untuk saling melengkapi. 

Saya juga sering didatangi persoalan dari kawan-kawan tentang rezeki ini. Dengan bertanyakan pelbagai 'mengapa' dan 'bagaimana'. 


Antara 'tips' murah rezeki yang boleh kita amalkan:

Mulakan hari dengan surah Al-Fatihah sebanyak 3 kali

Usai Al-Fatihah Pertama, lafazkan:

"Ya Allah, aku mulakan hariku dengan menyedekahkan Al-Fatihah ini kepada kedua ibu-bapaku, ibu dan bapa mertuaku semoga kau memberikan kesejahteraan kepada mereka di dunia dan akhirat. Sejahterakanlah mereka sebagaimana kau meluaskan rezeki kami, ya Allah!"

Usai Al-Fatihah Kedua, sebutkan:

"Aku sedekahkan Al-Fatihah ini kepada suami/isteriku serta anak-anakku semoga kau memberikan hidayah berterusan kepada mereka untuk beriman hanya kepadamu ya Allah! Jadikan kami insan-insan yang diketemukan Husnul Khatimah, ya Allah, dan jauhi kami azab seksa alam barzakh dan fitnah dajjal ya Allah!

Jadikan anak-anak kami anak yang soleh dan solehah, cemerlang hidup mereka di dunia dan akhirat."
Usai Al-Fatihah Ketiga, bacakan:

"Aku sedekahkan juga Al-fatihah ini kepada adik-beradikku, keluarga mereka, sanak-saudara kami serta sahabat-handai kami. Semoga kau permudahkan segala urusan mereka dan memberkati hidup mereka di dunia dan akhirat."

Doa kalian mungkin berbeza untuk meraka, tetapi 'tips' murah rezeki kali ini menekankan bahawa berdoa adalah kunci untuk dimurahkan rezeki. Berdoalah sentiasa untuk mereka yang penting di dalam hidup kamu iaitu, ibu bapa, ibu bapa mertua, suami atau isteri serta anak-anak, adik-beradik dan keluarga mereka, sanak-saudara dan sahabat-handai kita. Jadi, permulaan yang indah untuk  kita dan semua kenalan kita, inshaAllah. Tidak perlu risau sama ada mereka tahu atau pun tidak.

Berdoalah untuk memurahkan rezeki kerana tidak kita ketahui rahsia Allah doa siapa yang diangkatNya. Wallahu 'alam.


Sunday, November 8, 2015

Entri Pengenalan

*Allahu Akbar.. betul-betul perlahan Farah ini..tak pa janji mahu mencuba!*

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokaatuh sahabat dan pembaca

Buat kesekian kalinya baru lah dapat saya mencoretkan Entri Pengenalan untuk blog ini sesudah berhari-hari tertangguh akibat kesibukan pelbagai tugas hakiki. Hari ini barulah dapat saya mengetik papan kekunci ini dengan aman dan kurang gangguan.

Dilahirkan kira-kira 39 tahun yang lalu, di selatan tanahair, telah dijanjikan Allah pada saat ini terbuka hati saya untuk menuntut ilmu yang diminati sedari zaman persekolahan, iaitu menulis. Semoga Allah permudahkan urusan menuntut ilmu baru ini kepada saya sebagai penuntut dan guru saya sebagai pengajar.

Diberikan pendidikan awal hanya Tahun 1, 32 tahun yang lalu, tanpa pendidikan formal di peringkat pra-sekolah. Namun Alhamdulillah, berkat usaha kecil saya mampu melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading di tempat orang. Perjalanan hidup saya bukan lah seindah yang disangka. Zaman persekolahan sehingga zaman belajar, saya boleh dikategorikan sebagai antara yang 'bertuah' kerana laluan saya mudah walaupun sukar bagi orang lain.

Namun, cabaran saya adalah di alam pekerjaan. Walaupun pulang ke tanah air dengan segulung ijazah, pekerjaan pertama saya hanyalah sebagai kerani audit di sebuah hotel dengan bergajikan RM900 sebulan, itupun setelah 6 bulan menganggur. Gigih mencari akhirnya, jodoh saya melekat dengan industri pendidikan di negara kita. Bermula dengan pegawai kualiti dan pensyarah di sebuah kolej yayasan di selatan tanah air, saya mula berjinak-jinak dengan tugas pensyarah dan di hujung kerjaya terlibat dengan bahagian pengurusan universiti swasta terkenal negara kita. 

Walaupun kedengaran hebat, pekerjaan tetap ini tidak pernah mendatangkan kepuasan menyeluruh kepada saya kerana saya secara harfiah saya adalah seorang peneroka, berani meneroka alam baru, berani meneroka ilmu baru. Buktinya, secara sambilan, saya mencuba ilmu masakan yang tidak pernah diajar oleh emak mahupun emak mertua saya. Saya meneroka perniagaan katering sejak akhir tahun 2013 dan masih diterima baik sehingga kini. saya juga meneroka ilmu pengurusan kewangan dan saya yakin ilmu ini perlu dikongsikan dengan semua rakan-rakan terutama adik-adik yang masih muda supaya pengalaman buruk dapat disempadani jauh lebih awal. 

Cuma, kekangan saya, personaliti yang kurang menarik dan bukan seorang pakar komunikasi terampil, menjadikan saya kurang mahir untuk menyatakan idea, ilmu dan pendapat (yang saya yakin bernas) secara bersemuka dengan orang lain. Maka, saya rasa jalan terbaik hanyalah dengan menulis, supaya sedikit pemgalaman dan ilmu yang ingin saya kongsikan memberikan manfaat kepada pembacanya.

Kebelakangan ini, saya pula mengaktifkan diri dengan kerja kebajikan walaupun tidak banyak, dan dari situ ditemukan Allah dengan sahabat yang mampu mencurahkan ilmu penulisan yang saya mahu tapi tidak mencari selama ini.

Moga impian saya untuk berkongsi sedikit ilmu dengan seramai mungkin dipermudahkan Allah hendaknya,

Wassalam.